Posted in #tempatan

DIAgnosis

DIAGNOSIS.jpg
Penat. Itulah impressi pertama apabila melihat kulit hadapan buku ini.

Nama: DIAgnosis

Penulis: Dr. Anwar Fazal (MD), Dr. Aizzat (MD), Dr. Azah (MBBS)

Muka surat: 142 halaman

Tahun diterbitkan: 2014

Penerbit: Dubook Press

Harga: RM 20

ISBN: 9789670723020

Cetakan: Ketiga, 2014

Kalau mahu jadi DOKTOR sebab mahu:

1) Kaya

2) Bergaya

3) ’Glamour’

4) Rasa ‘Superior’

Lupakan serta merta. Kuburkan cita-cita mahu jadi doktor segera. Masih banyak kerjaya lain yang dapat berikan kamu semua di atas, bukan kerjaya kedoktoran.

Ini kerjaya yang akan buat kamu rasa betapa dengkelnya ilmu manusia dan betapa hebatnya kuasa Dia. Ini kerjaya yang boleh  buat kamu lebih hargai setiap degup jantung manusia kerana ia mampu berhenti tiba-tiba, pada bila-bila masa. Ini kerjaya yang boleh buat kamu terpaksa korbankan banyak perkara yang kamu mahu di dunia (antaranya cinta) kerana mahu menyelamatkan nyawa.

Maka kerana itu DIAgnosis tercipta untuk memberi inspirasi dan pengajaran bukan hanya pada doktor, bakal doktor atau semua yang berkerja dalam bidang perubatan tetapi juga disasarkan pada semua lapisan masyarakat.

“Setiap DIAgnosis itu hakikatnya datang dari DIA. Doktor hanya perantara.”

Selamat membaca

Pada muka hadapan buku, perkataan “Diagnosis” diletakkan di atas sedikit daripada bahagian tengah buku. terdiri daripada 2 warna iaitu merah dan putih. Perkataan “Dia” diwarnakan dengan warna merah dan ditebalkan. Perkataan “Gnosis” pula warna putih. Penggunaan warna merah dan putih memberi satu makna yang mendalam bagi buku ini. Dalam bidang perubatan, warna merah begitu sinonim dengan darah. Malah juga boleh dikaitkan dengan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit. Manakala warna putih melambangkan doktor yang begitu sinonim dengan jubahnya. Maka pertembungan antara warna merah dan putih simbolik kepada hubungan antara pesakit dan doktor. Selain itu, perkataan DIA yang ditebalkan pula merujuk kepada Allah. Ia jelas dinyatakan pada kulit belakang naskhah ini:

“Setiap DIAgnosis itu hakikatnya datang dari DIA. Doktor hanya perantara.”

Untuk gambar latar belakang, terdapat seorang doktor yang duduk tertidur di atas tangga yang tersorok daripada laluan manusia. Kepalanya disandarkan di dinding. Matanya pejam dan disampingnya terdapat sebotol air mineral yang kosong. Gambar turut difokuskan pada raut wajah doktor tersebut yang keletihan. Warna suram pada kulit buku menjadi simbolik kepada tekanan dan pergolakan emosi yang dihadapi oleh para profesional dalam bidang ini.

Apa itu diagnosis? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, diagnosis bermaksud perbuatan mengenal pasti sesuatu penyakit daripada tanda dan gejalanya. Berdasarkan tajuk buku ini, saya menjangkakan buku ini berkisar mengenai punca-punca penyakit yang banyak dihidapi oleh rakyat Malaysia: obesiti, darah tinggi dan lain-lain lagi. Namun, telahan saya hampir betul. Bukan punca penyakit fizikal tetapi lebih kepada penyakit jiwa dan sosial: dengki, putus asa, menghukum dan banyak lagi. Disebaliknya, terdapat kisah yang membawa nilai murni seperti kasih sayang, pengorbanan, dan pengharapan.

Kolaborasi 3 orang penulis dalam melahirkan  naskhah ini merupakan satu formula yang berjaya. Mengapa? Setiap penulis mempunyai kekuatan dan gaya tersendiri dalam mengolah pengalaman mereka untuk dibukukan. Contohnya, Dr. Anwar menggunakan pendekatan santai kelakar tetapi sinis manakala Dr. Azzah pula memilih untuk menulis dalam bentuk cerpen. Selain itu, Dr. Anwar gemar bermain dengan kata-kata bagi menambah elemen hot and spicy dalam hasil tulisannya.

P_20170720_214745.jpg
Salah satu permainan kata yang terkandung dalam buku ini.

Dari segi isi kandungan, secara umum terdapat 2 lapisan. Lapisan pertama buku ini berlegar sekitar situasi cemas, sedih dan gembira yang dirasai doktor.  Apabila anda membaca buku ini, emosi anda akan bercampur baur terutamanya dengan kisah daripada Dr. Azah dan Dr. Aizzat. Namun, satu kisah menarik yang saya ingin kongsikan adalah daripada Dr. Anwar;  kisah mengenai balasan yang diterima oleh pesakit gara-gara berkasar dengan doktor yang bertugas. Ingin tahu apa yang berlaku? Sila beli buku ini.

Lapisan kedua pula membawa pembaca menghadam kisah yang dihidangkan dengan lebih mendalam. Disebalik cerita yang dikongsikan,para penulis cuba membawa kita menghayati sifat kebergantungan kepada Allah dalam apa jua pekerjaan yang kita lakukan. Sehebat mana pun doktor, dia masih lagi berharap kepada Yang Esa dapat menyelamatkan pesakitnya. Tiada seorang pun doktor yang yakin 100% pesakitnya akan sembuh, walaupun seorang pakar. Pasti hatinya berkata “Semoga diizinkan Allah”.

Pada setiap muka surat yang terdapat istilah perubatan, dilampirkan definisi istilah tersebut pada nota kaki muka surat tersebut. Nampak ringkas tapi ia memudahkan pembaca bukan dari latar belakang perubatan untuk memahami kisah disampaikan tanpa perlu Google search istilah tersebut. Tahniah kepada Dubook di atas usaha murni ini. Keep it up!!!

Akan tetapi, terdapat beberapa kesilapan ejaan kecil seperti spacing. Usah risau. Kesilapan tersebut tidak mengganggu kelancaran pembaca menikmati kisah yang dicoret. Wajar sekali sekiranya kesilapan tersebut dapat dibetulkan dalam cetakan seterusnya.

Kesimpulannya, buku ini teramatlah menarik untuk dibaca terutamanya bagi remaja yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Gaya penulisan buku ini yang santai menjadikannya sesuai sebagai bacaan pada masa lapang untuk semua lapisan masyarakat. Saya pasti buku ini mampu mengubah persepsi pembacanya mengenai bidang kedoktoran dan juga kehidupan.

Selamat membaca !!!

Leave a comment